Tips Berguna Ketika Membeli Buah-Buahan

Memang kecewa kalau buah-buahan yang dibeli isinya lebam, tidak rangup, tidak manis, masam dan pelbagai rasa yang menghampakan. Kebanyakan daripada kita hanya memandang luaran buah yang cantik molek sahaja tanpa sedar rupa-rupanya ada tips atau kaedah tertentu untuk menentukan sama ada buah yang dibeli benar-benar berkualiti dan memuaskan hati.

Jom semak beberapa tips tersebut. Semoga bermanfaat.

1. Guna deria ketika memilih buah
Hidu, sentuh dan teliti akan keadaan buah-buahan tersebut sebelum memilihnya. Ini penting demi menjamin yang anda memilih buah-buahan sama ada sudah masak dan segar atau masam, belum cukup matang atau sudah kehilangan kesegarannya.

2. Hidu
Gunakan deria hidu untuk mengenal pasti buah yang benar-benar masak. Tips ini penting kerana terdapat sesetengah buah yang masak memang mengeluarkan bau yang agak kuat seperti buah durian dan tembukai susu. Namun, untuk mengenal buah itu telah rosak di bahagian dalam, hadirnya bau masam dari buah tersebut.

BACA: Rancang Kehamilan Melalui Penyusuan

3. Pastikan warna masak yang betul
Misalnya buah strawberi. Elakkan dari mengambil strawberi yang berona hijau kerana sebetulnya ia memang agak masam dan tidak cukup matang. Pilihlah buah yang mempunyai warna yang betul-betul terang pada keseluruhan buah itu.

4. Sentuh, pegang dan rasa
Buah-buahan yang padat seperti epal dan pear sepatutnya hadir cukup padat dan rangup, tetapi tidak pada pic, plum, dan buah-buahan lembut yang lain kerana ia sememangnya agak sedikit lembut. Lakukannya dengan cara yang hemah dan teliti kerana takut boleh merosakkan keadaan buah.

5. Periksa tangkai (jika masih ada)
Tangkai buah-buahan akan secara semulajadinya membengkok setelah buah dipetik. Tangkai yang berona hijau dengan buah yang sudah cukup matang adalah yang terbaik untuk dipilih, manakala tangkai yang berona hijau tetapi dengan buah yang agak keras menunjukkan keadaan buah belum cukup masak namun ia boleh disimpan sehingga ia betul-betul masak. Elakkan dari memilih buah-buahan yang bertangkai kering kerana kemungkinan ia sudah dipetik agak lama dari pohonnya dan teksturnya juga jelas berubah tanda buah tersebut telah kehilangan kesegarannya.

6. Hati-hati dengan buah-buahan yang berlubang
Jika anda menjumpai buah-buahan yang sudah berlubang walaupun sedikit, elakkan dari membelinya kerana rasa dan tekstur dalamannya pasti turut terkesan akibat lubang yang mungkin dimakan ulat buah.

BACA: Fakta & Mitos Penyusuan Ibu Semasa Bencana

7. Periksa tanda coklat kehitaman atau lebam buah
Buah-buahan yang sudah bertukar rona dengan tompokan coklat kehitaman atau lebam sememangnya sudah agak lama dipetik dan lebih lama terbiar. Ini akan menjejaskan rasa semulajadinya.

8. Elakkan mengambil buah yang disimpan di dalam kotak bertutup, dibungkus plastik atau beg guni.
Sebolehnya elakkan dari memilih buah-buahan yang telah sedia dibungkus sama ada di dalam kotak, plastik, mahupun beg guni kerana keadaan pembungkusan yang kedap udara akan mengakibatkan keseluruhan buah berwap. Mitos yang mengatakan sebiji epal rosak mampu merosakkan yang lain adalah benar.

9. Beli ketika musim
Pastikan anda membeli buah-buahan mengikut musim kerana ketika musim, buah-buahan tersebut berada dalam keadaan yang segar, ranum dan cukup elok.

Nota Editor:
Untuk kesejahteraan hidup, pilih dan buatlah pilihan yang bijak. 

BACA: 10 Jenis Diet Pemakanan Sihat Untuk Ibu Menyusu

LIKE kami di Facebook

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *