6 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Kaskas

Pengunaan biji kaskas di dalam masakan kembali menjadi perbualan.

Hal ini berikutan kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur SAC Wan Abdullah Ishak bahawa polis telah mengesan beberapa kes melibatkan pembuatan kek yang telah ditambah dengan kaskas untuk melariskan jualan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menegaskan pengunaan kaskas tidak pernah dihalang oleh pihak polis kerana jumlah bahan itu yang digunakan di dalam masakan terlalu kecil dan tidak memudaratkan kesihatan.

Apakah kaskas atau biji popi ini sebenarnya?

1- Asal-usul

Kaskas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum. Kaskas dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum.

2- Kandungan narkotik

Menurut Ensiklopedia Britannica, kaskas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair opium hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak. Namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.

3- Pengeluar utama

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Republik Czech merupakan pengeluar utama kaskas utama dunia pada tahun 2012 dengan 24.6 ribu tan metrik setahun diikuti oleh Turki (16.2 ribu) dan Sepanyol (11 ribu).

4- Penggunaan kaskas dalam masakan

Kaskas lazimnya digunakan di benua Amerika Utara dan Eropah sebagai salah satu ramuan pastri seperti mufin dan bagel. Di Asia Selatan, kaskas popular sebagai rempah yang dicampur bersama dengan serbuk kari.

5- Penyebab ketagihan?

Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Madya Razak Lajis berkata walaupun kaskas berasal daripada tumbuhan yang sama dengan heroin dan morfin, kaskas tidak akan menyebabkan ketagihan.

6- Kaskas dan restoran mamak

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata kaskas hanya digunakan dalam kuantiti yang sedikit sebagai penambah perasa makanan.

Perhatikan sumber makanan yang anda terima semasa berada di luar. Pengambilannya dalam kuantiti minimum tidak menjejaskan namun jika diambil dengan kerap mungkin memudaratkan diri anda. Yang penting, amalkan hidup yang sihat secara berterusan agar kehidupan kita lebih bermakna.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *